KUALA LUMPUR – Seorang peguam wanita mengalami kerugian lebih RM1 juta apabila terpedaya dengan sindiket love scam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa didakwa ditipu oleh seorang lelaki dari Amerika Syarikat (AS).
“Mangsa berkenalan dengan suspek sekitar Julai lalu melalui aplikasi WhatsApp. Suspek kononnya datang ke Malaysia untuk projek pembinaan underwater tank di perairan Terengganu.
“Namun ketika sampai di Malaysia, dia mendakwa semua wang tunainya telah dirompak. Dia kemudian meminta mangsa membantunya membawa masuk wang ke Malaysia dan membuat bayaran ke lapan akaun bank yang diberikan,” katanya ketika sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman hari ini.
Menurut Ramli, secara keseluruhannya, mangsa membayar RM1,757,490 dan suspek berjanji keseluruhan wang itu akan dipulangkan semula kepada pengadu.
“Bagaimanapun, sehingga kini pengadu tidak menerima sebarang pemulangan wang sebagaimana yang dijanjikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette