Tuesday, September 24, 2024
Home Sukan Pemain JDT bersolidariti buat Syahmi

Pemain JDT bersolidariti buat Syahmi

Foto FB Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) mengenakan jersi solidariti buat rakan sepasukan, Syahmi Safari yang tidak meneruskan baki saingan Liga Super 2024/2024 susulan mengalami kecederaan serius ketika berdepan Penang minggu lalu.

Semangat itu dapat dilihat pada jersi yang terdapat mesej yang tertera ‘Kami bersama anda, cepat pulih Syahmi’.

Jersi itu dipakai ketika pemain masuk ke dalam padang sebelum bermula aksi liga yang menyaksikan mereka menang 6-1 berdepan Kelantan Darul Naim kelmarin.

Sebelum ini, ketua jurulatih, Hector Bidoglio mengesahkan situasi terkini apabila Syahmi sedang menjalani rawatan pemulihan di Sepanyol.

Pemain berusia 26 tahun itu dijangkakan memerlukan tiga bulan sekurang-kurangnya untuk pulih daripada kecederaannya.

“Bagi saya, dia merupakan seorang pemain yang baik, muda dan memiliki masa depan yang cerah dalam bola sepak. Kini, dia sedang menjalani rawatan pemilihan di Sepanyol,” katanya.

Minggu lalu, tonggak yang beraksi di posisi pertahanan kanan dimasukkan sebagai pemain gantian kepada Oscar Arribas pada minit ke-76 ketika membantu JDT menewaskan Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Sebelum ditimpa kecederaan, Syahmi sempat membuat satu hantaran bantuan bagi memastikan tuan rumah merakamkan kemenangan selesa 5-0 menentang The Phanters untuk mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga.

Selepas beraksi selama 14 minit, nasib tidak menyebelahi Syahmi apabila terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan ekoran diterjah oleh pemain pertahanan Harimau Kumbang, Adib Ra’op.

Susulan kecederaan dialaminya itu, JDT mengambil insiatif menghantar anak jati Kuala Selangor terbabit ke Valencia, Sepanyol untuk mendapatkan rawatan lebih rapi.

Musim ini, Syahmi hanya tampil dalam tiga aksi Liga Super dan diberikan peluang bermain satu perlawanan Piala FA.

Dari tiga empat aksi itu, dia berjaya menyumbang satu gol dan dua hantaran bantuan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here