KUALA LUMPUR – Pas Melaka melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan tindakan kerajaan Negeri Melaka yang memecat pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menyiarkan gambar Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam slide khutbah Jumaat baru-baru ini.
Ketua Penerangannya, Ahmad Bilal Rahudin berkata, tindakan tersebut disifatkan satu kezaliman terhadap penjawat awam negeri berkenaan.
“Jelas kenyataan tersebut (oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman) langsung tidak masuk akal dan sengaja diperbesar-besarkan untuk merasionalkan tindakan keras terhadap pegawai-pegawai JAIM terbabit.
“Kita sedia maklum bahawa isunya hanyalah isu politik dan tidak akan sampai menjejaskan keharmonian rakyat pun.
“Tindakan memecat dan penukaran jawatan antara empat orang yang dikatakan terlibat dalam kejadian itu jelas sesuatu yang zalim dan melampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Bilal mengulas kenyataan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman yang berkata, tindakan tegas telah diambil dengan terdapat pegawai yang diberhentikan perkhidmatan atas sebab kecuaian, manakala yang lain ditukarkan ke bahagian atau daerah lain.
Semalam, empat pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ditukarkan tempat bertugas dan dipecat susulan isu paparan gambar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada infografik slaid khutbah Jumaat, minggu lalu.
Dalam slaid berasingan, turut dipaparkan adalah wajah Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa digantikan dengan gambar Sultan Ibrahim selaku Yang di-Pertuan Agong Ke-17.
Kata Ahmad Bilal, jelas kenyataan tersebut langsung tidak masuk akal dan sengaja diperbesar-besarkan untuk merasionalkan tindakan keras terhadap pegawai-pegawai JAIM terbabit.
Hakikatnya, jelas beliau, Abdul Hadi yang wajahnya itu dipaparkan dalam slide tersebut bukanlah manusia yang menjejaskan keharmonian, tetapi adalah seorang tokoh ulama dan negarawan.
Tambah beliau, sosok ulama ini juga merupakan mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia dan telah menghasilkan ratusan kitab agama, malah turut menulis tafsir beliau sendiri.
“Mengapakah kemunculan gambar beliau menjadi isu yang sangat besar sehingga ada pegawai yang hilang pekerjaan?
“Adakah ini budaya yang dibawa kepada rakyat dalam keadaan artis asing disanjung dan dijadikan ikon sedang para ulama menjadi imej yang ditakut-takutkan dalam masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette