Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali ketika sidang media pada Majlis Perasmian Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak, di Jalan Basco Kepayang, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 SEPTEMBER 2024.

IPOH – Pendaftaran syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) boleh dibatalkan sekiranya wujud kesalahan ke atas aktiviti perniagaan yang melanggar kepentingan awam dan peraturan semasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, justeru pihaknya melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan terus bekerjasama dengan pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membantu melengkapkan siasatan ke atas syarikat itu.

“Kita sedang menyemak semula semua pendaftaran syarikat induk dan anak-anak syarikat berkenaan termasuk dalam soal pematuhan mereka terhadap menghantar laporan tahunan, penyata kewangan dan sebagainya.

“Dan pada peringkat ini siasatan utama itu dilakukan oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan kita sedang melihat kepada aspek pematuhan terhadap undang-undang syarikat.

“Kerjasama dengan PDRM juga sebagai kita mahu membantu melengkapkan siasatan di bawah sebarang perkara yang terkait dengan akta mahupun bidang kuasa di bawah SSM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak, dekat sini pada Selasa.

Majlis disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Tambah Armizan, laporan media berkaitan terdapat beberapa premis perniagaan di bawah GISBH seluruh yang menanggal dan menukarkan papan tanda sebagai dakwaan untuk mengaburi mata pihak berkuasa, juga berada di bawah pengetahuan pihaknya.

Namun, beliau tidak mengulas lanjut sebaliknya menyerahkannya kepada pihak polis selaku agensi yang mengetuai siasatan berhubung isu yang sedang berlaku terhadap syarikat berkenaan.

“Saya tidak boleh hebahkan secara terbuka. ada perkara-perkara yang memang daripada segi aspek (dakwaan pelanggaran undang-undang sedang disiasat).

“Ia termasuklah yang disebutkan bagaimana memang ada (dakwaan) cubaan untuk mereka melindungi (diri daripada pihak berkuasa) apabila bila siasatan telah dibuat, dan perkara tersebut dalam perhatian kita,” jelas beliau.

Pada 11 September lalu, PDRM melancarkan Op Global dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dari 20 rumah perlindungan yang mempunyai kaitan dengan GISBH di sekitar Selangor serta Negeri Sembilan.

Hasil ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dalam operasi itu, mendapati mereka dipercayai mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh, termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

Di Perak, media turut melaporkan semua premis kendalian GISBH di negeri itu berada dalam radar pemantauan polis susulan isu eksploitasi kanak-kanak.

Empat premis perniagaan milik GISBH juga dikatakan sudah menanggalkan papan tanda di premis mereka yang mempamerkan nama serta logo syarikat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here