Logo Petronas di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) berhubung pengedaran gas di negeri itu.

Perkara tersebut disahkan Pejabat Premier Sarawak selepas mesyuarat bersama dilakukan antara Kerajaan Sarawak, Petronas dan Petros hari ini.

Pejabat Premier Sarawak turut mengesahkan perbincangan mengenai pengedaran gas di Sarawak kini sedang berjalan antara kedua-dua pihak dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Adalah disahkan bahawa tiada tindakan undang-undang sedang difikirkan oleh Petronas terhadap Sarawak dan Petros.

“Semua pihak menghormati dan mematuhi undang-undang Persekutuan dan Negeri berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Premier Sarawak

Media sebelum ini melaporkan, Petronas sedang mempertimbangkan untuk memfailkan injunksi mahkamah terhadap kerajaan negeri Sarawak berhubung hak pengagihan gas asli di Sarawak.

Pada Julai lalu, dilaporkan Kerajaan Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan kepada Petronas untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak dengan Petros.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, sebelum ini Sarawak memutuskan syarikat petroleum milik kerajaan Sarawak, Petros akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak bermula 1 Julai lalu.

Bagaimanapun, Petronas meminta penangguhan pelaksanaan pengambilalihan itu kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here