Antara jus minuman disyaki mengandungi dadah yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jelutong, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang membongkar stor penyimpanan dadah jus minuman (MDMA) sebelum merampas pelbagai jenis dadah lain bernilai RM590,100 di sebuah rumah di Jelutong di sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kejayaan itu susulan tangkapan seorang lelaki berusia 26 kira-kira pukul 4.25 petang di parkir kawasan sama.

Katanya, polis merampas 11 paket plastik pelbagai warna disyaki dadah jenis serbuk jus 3,4-metil​enadioksi​metamfetamina (MDMA) seberat 259 gram (g) berniali RM3,300 dan sepaket lutsinar disyaki dadah ketamin seberat 12 g bernilai RM2,400 bersama suspek.

“Sususlan itu, polis menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor menyimpan jus minuman MDMA dan menemui 1,134 paket plastik pelbagai warna dan 10 balang plastik lutsinar berisi dadah MDMA seberat kira-kira 37.7 kilogram (kg) bernilai RM560,040.

Suspek aktif sejak Mac lalu dan rampasan keseluruhan berjumlah RM59,100.

“Turut dirampas, tiga paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ketamin seberat 76.8 g bernilai RM15,360, 128 biji pil ekstasi (RM6,400), 10 biji pil Erimin 5 (RM800) dan enam bekas plastik berisi cecair dadah seberat 47.7 g (RM1,800).

“Dadah yang dirampas secara keseluruhannya dianggarkan bernilai RM590,100 dan boleh digunakan oleh kira-kira 9,500 penagih,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek aktif dalam kegiatan tersebut sejak Mac tahun ini.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah itu mendapati dia positif dadah jenis benzo/ketamin.

“Polis turut menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 bernilai RM90,000 yang menjadikan keseluruhan rampasan serta sitaan bernilai RM680,100.

“Suspek direman sehingga 30 September depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here