BUTTERWORTH – Penang Port Sdn Bhd (PPSB) melabur lebih RM100 juta bagi meningkatkan keupayaan pelabuhannya untuk dijadikan hab pelayaran utama di Asia Tenggara dengan menaik taraf Terminal Kapal Pesiar Swettenham Pier.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk V. Sasedharan berkata, meskipun berada pada kedudukan kedua di Asia Tenggara selepas Singapura, Pelabuhan Pulau Pinang menyasarkan untuk merapatkan jurang dengan meningkatkan keupayaan tempat asal kapal (home porting).
Katanya, langkah itu mampu untuk menarik lebih banyak kapal ke pelabuhan tersebut sekaligus merangsang ekonomi tempatan dan ia merupakan sesuatu yang sangat menarik.
Malah jelas beliau, pengunjung yang datang boleh menghabiskan masa mereka di Pulau Pinang sementara kapal-kapal yang berlabuh boleh mendapatkan bekalan daripada perniagaan berdekatan.
“Kami memerlukan ekosistem pelabuhan yang holistik termasuk penyelarasan yang lancar antara lapangan terbang, pelabuhan dan pihak berkuasa seperti kastam dan imigresen,” kata Sasedharan dalam satu taklimat kepada media baru-baru ini.
Dalam pada itu, menurut Sasedharan, Pelabuhan Pulau Pinang mengendalikan seramai 1.2 juta penumpang pelayaran tahun lepas dan menjangkakan pertumbuhan serupa pada tahun-tahun akan datang.
Ujarnya, setiap kali adanya ketibaan kapal persiaran yang membawa antara 4,000 hingga 6,000 penumpang, mereka akan singgah berbelanja untuk nendapatkan perkhidmatan barangan tempatan seperti makanan selain perkhidmatan pengangkutan dan penginapan.
Bagaimanapun, katanya, jumlah penngunjung itu telah terjejas disebabkan krisis Laut Merah yang berterusan hingga menyebabkan pembatalan beberapa tempahan pelayaran antarabangsa.
Namun, kata beliau, Pelabuhan Pulau Pinang kekal optimis terhadap prospek untuk jangka panjang bagi operasi pelayarannya.
“Pulau Pinang berada pada kedudukan yang baik untuk menguasai bahagian yang lebih besar dalam pasaran pelayaran serantau.
“Pelaburan kami dalam memodenkan terminal pelayaran dan memperluaskan keupayaan pemindahan home porting kami kelebihan daya saing,” kata Sasedharan.
Tambahnya, walaupun pelancong dari China pernah mendominasi pasaran namun pertumbuhan baru-baru ini datang dari India, Indonesia dan negara-negara Barat.
“Kami telah melihat peningkatan 20 peratus hingga 30 peratus pasaran India dan Indonesia di mana peralihan ini membantu mengimbangi penurunan pelancong dari China,” kata beliau. – MalaysiaGazette