Tan Sri Annuar Musa.

KLUANG – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota merupakan platform kepada rakyat untuk memperbetulkan ketempangan politik yang sedang berlaku dalam negara.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, PRK itu juga merupakan peluang dan ruang kepada rakyat untuk menamatkan politik kepentingan peribadi yang menyebabkan berlakunya kepincangan kepada negara.

Ujar beliau, pengundi di DUN Mahkota tanpa mengira kaum dan parti politik tidak boleh menghantar isyarat yang salah kepada kerajaan pada hari pengundian Sabtu ini, yang boleh menyebabkan kerajaan terus berada dalam keadaan lalai berkenaan nasib rakyat.

“Adakah rakyat mahu meneruskan politik berasaskan kepentingan individu yang mana sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Kabinet ketika ini adalah gagal, yang nak jadi `hero’ hanya seorang (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Sebab itu di negara ini tidak boleh hanya bersandarkan retorik kepimpinan, tetapi rakyat mahu lihat keberhasilan.

“Tetapi ketika dalam keadaan rakyat susah, cukai dinaikkan, dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi, harga diesel dinaikkan, dalam keadaan kita mahukan perpaduan, tetapi dalam kerajaan pun berantakan, dalam keadaan kita nak rasa bebas, tetapi media sosial pun mahu dilesenkan.

“Kerajaan apakah ini? Adakah kerajaan Korea Utara atau adakah kerajaan Malaysia yang kita impikan?” katanya ketika berucap dalam ceramah kelompok Perikatan Nasional (PN) di Kampung Melayu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, di sini, malam tadi.

Tambah Annuar, PRK DUN Mahkota pada Sabtu ini bukan semata-mata berkenaan calon yang bertanding atau isu yang berlaku di kawasan setempat atau di negeri Johor.

Tetapi, ujarnya, PRK itu adalah untuk menolak gabungan politik berteraskan kepentingan individu yang wujud di peringkat Kerajaan Pusat ketika ini yang disifatkan sebuah kerajaan yang akan terus gagal.

“Selepas dua tahun kerajaan hari ini gagal berkhidmat sekurang-kurangnya sehingga ke hari ini, maka keputusan mengubah kegagalan ini adalah hak rakyat.

“Adakah rakyat mahu menunggu lima tahun lagi (Pilihan Raya Umum Ke-16) atau mahu tunggu peluang yang akan datang pada Sabtu ini,” katanya.

Dalam masa sama, Annuar berkata, kestabilan sebenar negara hanya akan wujud apabila orang Melayu dan umat Islam sebagai masyarakat majoriti mendahului dalam soal perpaduan tanpa mengetepikan kaum-kaum lain.

Ujarnya, kelemahan perpaduan orang Melayu dan umat Islam disebabkan perpecahan politik bukan hanya akan melemahkan kaum itu, malah turut menyebabkan negara menjadi lemah.

“Sebab itu bagi rakyat yang menolak politik perkauman, politik kebencian, maka PN lah yang harus menjadi pilihan, rakyat perlu mempertahankan dasar untuk membina negara dan bangsa yang lebih baik yang mana formulanya adalah bersama PN,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here