KLUANG – Polis menerima sebanyak dua laporan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dari 14 September lalu sehingga semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk M. Kumar berkata, daripadai dua laporan itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Jelas beliau, siasatan itu melibatkan dakwaan wujud elemen sogokan untuk menarik undi seperti yang ditularkan menerusi media sosial.
“Siasatan kes ini masih lagi berjalan memandangkan kita juga perlu mendapatkan maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian awal dalam kalangan anggota polis di Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis, hari ini.
Sementara itu, kata beliau, polis turut menerima sebanyak 96 permohonan permit untuk kempen PRK DUN Mahkota iaitu masing-masing 27 permit untuk mengadakan ceramah, siar raya (42) dan walkabout (27) dengan kesemuanya diberikan kelulusan.
Selain itu, katanya, bagi proses pengundian awal hari ini, seramai 810 pegawai dan anggota telah ditugaskan bagi memastikan kelancaran proses tersebut.
“Setakat ini (kira-kira 10.30 pagi), lebih 50 peratus pengundi awal dalam kalangan anggota polis telah keluar menjalankan tanggungjawab memilih dan proses itu juga berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
“Saya menasihatkan kepada semua pengundi awal hari ini supaya keluar lebih awal memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu (hujan waktu petang),” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan empat lagi pengundi pos dalam kalangan 18 anggota polis yang masih belum menghantar kertas undi masing-masing berbuat demikian sebelum pukul 4 petang pada 27 September ini.
Sementara itu, tambah Kumar, perjalanan kempen PRK DUN Mahkota setakat hari ini juga secara keseluruhannya berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan berlaku.
“Ini menunjukkan kematangan bangsa Johor dan kita menasihatkan semua pihak terus memberikan kerjasama penuh dalam memastikan kelancaran PRK ini selain memastikan proses demokrasi tidak diganggu-gugat,” katanya. – MalaysiaGazette