Anggota Tentera menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota di pusat mengundi awal Kem Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2024.

KLUANG – Sebanyak 95.45 peratus daripada keseluruhan 4,437 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menjalankan tanggungjawab masing-masing hari ini.

Mereka terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan yang mula mengundi seawal pukul 8 pagi tadi sebelum proses pengundian tamat pukul 5 petang.

Sebanyak tiga pusat mengundi awal dibuka iaitu di Dewan Mahkota di Kem Mahkota; Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim di sini.

Sementara itu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Penerangan, pengamal media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun turut meninjau proses pengundian awal di kesemua pusat mengundi tersebut pagi ini.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN,) Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, akibat pendarahan dalaman pada 2 Ogos lepas.

DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar termasuk 10 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara, dengan 20 pusat mengundi biasa akan dibuka pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here