KUALA LUMPUR – Pengorbanan pelakon, Rita Rudaini menjadi ibu tunggal selama 11 tahun berbalas apabila diiktiraf sebagai penerima Anugerah Ibu Ikon sempena Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025.
“Terima kasih Ikon Malaysia untuk Anugerah Ibu Ikon 2024/2025 sempena Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025.
“Saya akan terus memberi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana. Kita semua wanita kuat. Kita semua adalah ikon,” katanya dalam sebuah hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian lain, Rita sempat berpesan kepada para wanita yang mengalami nasib yang sama sepertinya untuk terus kuat mengharungi cabaran hidup demi anak-anak.
Meskipun tidak mudah melalui ujian, Rita percaya setiap wanita mempunyai kekuatan tersendiri untuk mendidik anak-anak yang dianggap hadiah manis daripada Allah.
“Tapi itulah ujian untuk yang terpilih. Dan percayalah, di sebalik ujian itu ada ‘hadiah’ manis yang Allah berikan iaitu ‘anak’. Jagalah, sayangilah dan didik lah mereka kerana Allah,” katanya.
Untuk rekod, Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan pada 2008 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Airit Rayyan Rizqin, 15 dan Airit Qaqa Arjuna 13 tahun.
Bagaimanapun, ikatan perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian pada September 2013. – MalaysiaGazette