KUALA LUMPUR – Penggunaan visa pelancong dalam kalangan warga asing antara punca utama berlakunya kegiatan ‘counter setting’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2).
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, visa tersebut disalahgunakan oleh warga asing untuk masuk ke negara menggunakan alasan melancong namun sebaliknya bekerja secara haram.
Menurutnya, modus operandi tersebut membuka peluang kegiatan ‘counter setting’ apabila sindiket membayar wang rasuah dengan nilai tertentu kepada penguat kuasa kemudian menyebabkan isu warga asing tinggal melebihi tempoh sah, bekerja tanpa permit kerja yang sah dan mengelak senarai hitam (blacklist) dalam negara.
“Kumpulan warga asing khususnya daripada Bangladesh, Nepal, Myanmar dan beberapa negara lain datang ke negara ini tidak menggunakan sistem sedia ada,” katanya.
Jelas sumber itu, sindiket berkenaan tidak menggunakan sistem pengurusan berpusat pekerja asing iaitu Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) yang mendaftar dan memantau pekerja asing di dalam negara.
Tambahnya, bayaran yang dikenakan sindiket kepada kumpulan warga asing yang ingin memohon permit kerja ke negara ini adalah lebih RM6,000 sehingga RM12,000 dengan menggunakan saluran yang tidak sah.
Terdahulu katanya, penyalahgunaan visa pelancong untuk bekerja secara haram dikenal pasti sangat berleluasa dan membuka peluang kepada warga asing masuk bekerja di negara ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi turut mengesahkan mengenai perkara berkenaan.-MalaysiaGazette