Gambar hiasan

NIBONG TEBAL – Penduduk di Mukim 5, Sungai Bakap di sini menggesa Kerajaan Negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyelesaikan isu tekanan air rendah di kawasan yang didakwa berpunca daripada kerosakan paip besar di Politeknik Permatang Pauh dekat sini minggu lalu.

Sebanyak 13 kawasan perumahan berdepan situasi kritikal itu termasuk kawasan perumahan Taman Seruling Emas, Taman Widuri, Taman Sungai Duri Indah, Kampung Permatang Ara dan Wellesley.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, sudah memasuki hari kelima penduduk berdepan situasi menjalani kehidupan harian tanpa air yang mencukupi.

“Kejadian ini dipercayai berpunca daripada kerosakan paip besar di Politeknik Permatang Pauh dan PBAPP memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikian akan ditangguhkan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan.

“Masalah bekalan air yang dihadapi penduduk seolah-olah tiada penghujung susulan bekalan air hanya ada sekitar pukul 1 hingga 6 pagi itu pun dalam keadaan tekanan rendah sekali gus menyebabkan tangki di rumah tidak dapat diisi penuh.

“Berhari-hari kami lalui keadaan macam ini dan ia secara langsung memberi impak kepada kehidupan seharian penduduk,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Khairul, pihaknya berharap kerajaan negeri dan PBAPP mengambil perhatian segera terhadap masalah yang membebankan penduduk ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here