Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) Datuk Idris Zaharudin

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) menganjurkan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Ke-3 selama dua hari bermula Khamis ini.

Pengarah BPGN, Datuk Idris Zaharudin berkata, persidangan yang bertemakan ‘Mendepani Ancaman Rasuah: Pembanterasan Secara Kolektif’ itu akan menyaksikan tujuh pembentangan penyelidikan oleh lima institusi dalam negara.

Antaranya adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau berkata, persidangan yang akan berakhir Jumaat merupakan platform yang sesuai bagi perancang dasar dan pemain-pemain industri dalam menilai, merancang serta mengambil tindakan bersesuaian dalam membina negara yang mantap tatakelolanya, bebas rasuah dan makmur.

Tambahnya, ia juga akan dapat menjadi saluran perkongsian hasil penyelidikan dalam konteks pentadabiran, integriti dan antirasuah selain membincangkan isu-isu semasa berkaitan risiko pelanggaran integriti dan kelemahan tatakelola yang boleh ditambah baik.

“Persidangan ini bukan sekadar persidangan biasa, tetapi ia merupakan suatu platform penyampaian secara terbuka kepada semua pemegang taruh yang berkaitan dengan tajuk-tajuk dibentangkan untuk mereka mengambil cakna sekiranya terdapat syor penambahbaikan yang berguna untuk diterapkan di agensi masing-masing.

“Malahan sehingga kini, tiada persidangan seumpama ini dilaksanakan oleh mana-mana agensi untuk menunjukkan secara telus bahawa penyelidikan yang dilaksanakan secara kerjasama antara SPRM dan institusi penyelidikan memberikan keyakinan yang tinggi kerana kajian yang dilaksanakan bukan sekadar persepsi semata-mata tetapi merupakan kajian lapangan bersama responden serta menggunakan metodologi tertentu hingga kajian ini ditafsirkan sebagai kajian yang valid (sah) dan reliable (dipercayai),” ujarnya.

Terdahulu katanya, sebanyak 18 syor daripada penyelidikan yang dibentangkan menerusi dua siri persidangan sebelum ini telah diangkat ke Jawatankuasa Khas Kabinet TataKelola Nasional (JKKTN).

“Malahan terdapat tujuh syor daripada 18 kertas penyelidikan yang telah dibentangkan sejak tahun 2022-2023 telah diangkat menjadi substrategi di dalam dokumen Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028,” tambah beliau.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here