Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap dalam sidang media di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini. Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam rugi RM339,000 selepas bekas rakan kongsinya didakwa menyeleweng wang daripada akaun klien firma guaman milik mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa, 49, mendakwa suspek telah memalsukan tandatangan dan menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi.

“Hasil penelitian yang dilakukan oleh pengadu, sekitar tahun 2012 hingga 2014, suspek telah menandatangani beberapa keping cek selain turut memalsukan tandatangan bagi urusan pengeluaran sejumlah RM339,243 daripada akaun pelanggan,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Ramli, setelah disoal, suspek mengakui perbuatan itu dan berjanji untuk memulangkan semula wang yang telah digunakan.

Atas dasar percaya, mangsa telah membuat pinjaman peribadi dan menjual rumah miliknya bagi menggantikan wang yang telah digunakan oleh suspek.

“Bagaimanapun, sehingga kini suspek gagal membuat bayaran seperti yang dijanjikan,” katanya.

Selain itu, dalam kes berasingan, Ramli berkata, pihaknya telah menerima empat laporan mengenai kes pecah amanah oleh peguam membabitkan RM2.7 juta.

Mengulas lanjut beliau berkata, seorang pengarah syarikat wanita berusia 47 tahun mengalami kerugian sebanyak RM1.9 juta setelah melantik seorang peguam untuk menguruskan empat tuntutan sivil terhadapnya. 

Pengarah tersebut turut memindahkan aset dan wang tunai sementara kepada peguam tersebut susulan perintah “Mareva Injunction” yang dikenakan ke atas harta miliknya.

“Terpedaya dengan tawaran yang diberikan, pengadu telah menyerahkan wang serta beberapa barangan mewah miliknya kepada suspek, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM1.9 juta.

“Namun, menjelang akhir tahun 2023, pengadu memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan guaman suspek dan meminta pemulangan kesemua wang tunai serta barangan mewah yang diamanahkan. Malangnya, suspek gagal berbuat demikian dan terus memberikan pelbagai alasan,” jelasnya.

Kes ketiga pula melibatkan seorang pengarah syarikat pembinaan berusia 81 tahun yang mengalami kerugian lebih daripada RM438,000 bagi pengurusan saman terhadap syarikatnya. 

Sementara itu, seorang ahli perniagaan turut mengalami kerugian sebanyak RM23,000 setelah melantik seorang peguam untuk menguruskan pembelian sebidang tanah seluas 1.9 hektar di Daerah Mualim, Perak.

Menurut Ramli, kesemua kes tersebut kini sedang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here