PBAPP menggerakkan lori tangki ke lokasi terjejas.

NIBONG TEBAL – Masalah gangguan bekalan air di beberapa kawasan khususnya daerah Seberang Perai Selatan (SPS) sejak beberapa hari lalu berpunca daripada kebocoran paip utama bersaiz 1200mm di Permatang Pauh, menurut Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Nurhidayah Che Rose.

Menurut Nurhidayah, kebocoran itu telah menyebabkan kehilangan air sebanyak 20 hingga 24 juta liter di kawasan SPS sekali gus mengakibatkan tekanan air rendah serta ketiadaan bekalan air di Taman Wellesly, Flat Mutiara Jaya, Hospital Sungai Bakap dan beberapa kawasan lain.

“Berdasarkan tinjauan di lokasi hari ini terdapat tiga kebocoran pada paip utama di Permatang Pauh dekat sini dan pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan mengambil tempoh tertentu untuk membaikinya.

Nurhidayah (dua dari kiri) mendengar taklimat daripada pihak PBAPP ketika meninjau lokasi kebocoran paip di Permatang Pauh hari ini.

“Antara kekangannya termasuk kebocoran paip itu pada kedalaman 12 hingga 15 meter, paip baharu perlu ditempah dari ibu negara dan lain-lain.

“Sehubungan itu, PBAPP telah menggerakkan lima buah tangki air untuk menghantar bekalan ke kawasan terjejas serta tiga unit jumbo bagi mengisi tangki sedutan rumah pam Mukim 5 dengan bantuan Bomba Sukarelawan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambahnya, beberapa unit jumbo tambahan juga digerakkan ke Mukim 5, Taman Widuri dan Taman Wellesly bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas mendapat bekalan air.

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal menyalurkan bantuan air mineral kepada penduduk yang memerlukan.

Sementara itu, dalam usaha meringankan beban penduduk, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal telah menyalurkan bantuan air mineral kepada penduduk yang memerlukan bekalan air minuman bersih.

Semalam, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek turut melakukan tinjauan di kawasan penduduk yang terjejas disebabkan masalah paip bocor tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/09/24/setiap-hari-lima-jam-sahaja-ada-air-penduduk/

Terdahulu penduduk di Mukim 5, Sungai Bakap di sini menggesa Kerajaan Negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyelesaikan isu tekanan air rendah di kawasan yang didakwa berpunca daripada kerosakan paip besar di Politeknik Permatang Pauh dekat sini minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, sudah memasuki hari kelima penduduk berdepan situasi getir dengan menjalani kehidupan harian tanpa air yang mencukupi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here