UMS akan mula menerima kemasukan pelajar baharu pada dua hari sesi pendaftaran yang bermula 28 September.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu memudahkan pelajar baharu khususnya yang kurang berkemampuan untuk mendaftar bagi sesi kemasukan 2024/2025 yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, inisiatif tersebut termasuklah kemudahan penangguhan yuran pendaftaran universiti bagi memastikan pelajar dapat menyelesaikan urusan pendaftaran tanpa perlu bimbang berkenaan masalah kewangan.

“Selain itu, pihak universiti juga turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang
boleh dimohon oleh pelajar khususnya yang kurang berkemampuan seperti bantuan
kewangan (MyCare), bakul makanan dan sumbangan zakat.

“Program Pembangunan Siswa Sulung (Sulung) 3.0 juga diteruskan bagi membantu
anak pertama dalam keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian di UMS,”
katanya dalam satu kenyataan.

UMS menyediakan kemudahan penangguhan pembayaran yuran pendaftaran semasa sesi pendaftaran pelajar baharu.

Kasim turut memaklumkan, sepanjang proses persediaan sebelum sesi pendaftaran,
pelbagai hebahan maklumat telah dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP)
bagi memastikan pelajar yang mempunyai masalah kewangan dapat menghubungi
talian bantuan JHEP dengan segera.

“Sepanjang Minggu Suai Mesra Pelajar Baharu UMS yang bermula 30 September
nanti dijalankan, pelajar akan didedahkan dengan maklumat berkaitan permohonan
biasiswa seperti Biasiswa Kerajaan Negeri, Yayasan Sabah, Biasiswa MARA, dan
sebagainya.

“Satu slot khusus bersama wakil dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN) juga disediakan bagi memudahkan proses permohonan pelajar,” katanya.

Justeru itu, beliau berpesan agar para pelajar baharu yang akan mendaftar ke UMS
tidak perlu gusar memikirkan soal kewangan kerana pelbagai inisiatif telah disediakan untuk memudahkan urusan pendaftaran kelak.

“Kesemua inisiatif ini dilaksanakan sebagai menunjukkan kesungguhan pihak UMS
yang mengutamakan kebajikan pelajar agar dapat melanjutkan pengajian di
peringkat tertinggi walaupun daripada pelbagai latar belakang ekonomi.

“Inisiatif menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry
Abd. Kadir yang mengarahkan semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar
yang kurang berkemampuan serta menangguhkan yuran pendaftaran universiti bagi
memudahkan urusan kemasukan pelajar baharu ke universiti,” ujar beliau.

UMS akan mula menerima kemasukan pelajar baharu pada dua hari sesi pendaftaran
yang bermula 28 September ini di kampus induk Kota Kinabalu, UMS Kampus
Antarabangsa Labuan, dan Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan dan akan
mengadakan MSM selama seminggu bermula 30 September. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here