Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun hadir melawat pusat mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota di pusat mengundi awal Kem Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi bagi pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota iaitu lebih 35.47 peratus setakat pukul 10 pagi tadi.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding peratusan keluar mengundi bagi pengundi awal DUN Mahkota pada pilihan raya umum lalu iaitu hanya kira-kira 18.6 peratus.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun bercakap ketika ditemubual selepas hadir melawat pusat mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota di pusat mengundi awal Kem Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2024

“Berdasarkan trend ini, dengan cuaca yang baik hari ini, kita berharap peratusan keluar mengundi boleh mencapai lebih 90 peratus bagi pengundi awal hari ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di pusat mengundi Dewan Mahkota yang terletak di dalam Kem Mahkota hari ini.

Terdahulu Ramlan turut meninjau dua lagi proses pengundian awal yang berlangsung di Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim.

Ketiga-tiga pusat mengundi awal itu mula dibuka pukul 8 pagi tadi bagi membolehkan seramai 4,911 pengundi awal PRK DUN Mahkota menjalankan tanggungjawab memilih sehingga pukul 5 petang nanti.

Jumlah pengundi awal itu masing-masing melibatkan seramai 4,510 anggota tentera dan pasangan serta 401 anggota polis dan merupakan sebahagian daripada keseluruhan 66,318 pengundi PRK DUN Mahkota dengan pengundi biasa akan memilih pada Sabtu ini.

Anggota Tentera menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota di pusat mengundi awal Kem Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2024.

Sementara itu, Ramlan berkata, SPR turut berharap peratus keluar mengundi bagi PRK DUN Mahkota pada Sabtu ini juga boleh melebihi lebih 70 peratus seperti yang dicatatkan pada PRK DUN Nenggiri bulan lalu.

“Seperti yang kita sedia maklum, pada setiap PRK memang kadar keluar mengundi agak tinggi, jadi kita pun berharap perkara yang sama pada PRK DUN Mahkota, Sabtu ini.

“Jadi, saya menyeru semua pengundi DUN Mahkota keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” katanya.

PRK DUN Mahkota Sabtu ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar dan diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here