Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggang melanggar bahagian kanan belakang sebuah lori di Jalan Industri Rawang Intergrasi, pada jam 5.41 petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Abang Kaderi Abang Wasli berkata, ketika kejadian, mangsa yang merupakan warga asing berumur lingkungan 32 tahun yang dalam perjalanan ke Taman Pelangi cedera parah selepas tercampak ke jalan.

“Mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS150 dari Rawang ke Taman Pelangi.

“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah terlanggar bahagian sisi kanan belakang lori yang dipandu lelaki warga tempatan berumur lingkungan 54 tahun,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

“Mayat mangsa dibawa ke Forensik untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Abang Kaderi berkata, kes tersebut disiasat di Bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta saksi yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Rohaizad Hashim di talian 012-2924420 atau Bilik Gerakan Polis Daerah Gombak di talian 03-6126222. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here