Pasangan Goh Sze Fei-Nur dan Izzuddin Rumsani.

KUALA LUMPUR – Dari pemain nombor ketiga dunia, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia kini jatuh ke tangga kelima dunia.

Berdasarkan kemas kini terbaharu ranking dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Zii Jia dipintas pemain Denmark, Anders Antonsen dan pemain Jepun, Kodai Naraoka.

Pada aksi di Changzhou minggu lalu, pemain kelahiran Kedah itu dipalit kekalahan memalukan di tangan pemain Jepun, Koki Watanabe 15-21, 2-21.

Selepas meraih gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024, pemain berusia 26 tahun itu turut tersingkir di pusingan pertama Terbuka Jepun sebelum membuat keputusan tidak beraksi di Terbuka Korea Selatan dan Hong Kong bagi memberi tumpuan aksi di China yang berakhir dengan episod duka.

Sementara itu, sekalipun turut tersingkir di pusingan pertama Terbuka China, pemenang pingat emas Olimpik, Viktor Axelsen mengekalkan kedudukan di ranking kedua dunia dengan pemain China, Shi Yuqi kekal sebagai pemain nombor satu dunia.

(ARKIB) Lee Zii Jia

Sementara itu, kejayaan merangkul gelaran Super 1000 Terbuka China minggu lalu menyaksikan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menguasai kelompok 10 beregu terbaik dunia.

Susulan kejayaan itu, Sze Fei-Izzuddin kini mengisi ranking kelapan dunia yang juga peningkatan empat anak tangga berbanding ranking ke-12 sebelum ini.

Begitupun, beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang masih belum beraksi di kejohanan Jelajah Dunia selepas meraih gangsa di Olimpik Paris 2024 susulan kecederaan Wooi Yik kekal gandingan terbaik negara dengan menghuni ranking kelima.

Turut menyertai kelompok 10 terbaik dunia beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang meningkat dua anak tangga di tangga ke-10.

Peningkatan itu sememangnya dijangka selepas gandingan suami isteri itu muncul naib juara Terbuka China.

Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah kekal di tangga kelapan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here