Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR – Polis memberkas dua lelaki disyaki pemburu haram yang menembak seorang anggota tentera di kawasan hutan Jalan Multipass Link di Song, Kapit pada Isnin lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 31 tahun itu ditahan di Song pada jam 6 petang semalam.

Katannya, selaras senapang patah selain peluru penabur yang dipercayai digunakan ketika kejadian tersebut dirampas.

“Polis menubuhkan pasukan siasatan khas selepas menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 6 pagi Isnin lalu dan hasil siasatan berjaya mengesan dua suspek,” katanya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati senjata yang ditemukan dipercayai milik bapa salah seorang suspek dan mempunyai lesen yang sah.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek tidak memiliki lesen membawa senjata api,” katanya.

Mancha berkata, ketika kejadian salah seorang daripada suspek melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka haiwan liar.

Selepas melepaskan tembakan itu, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal melarikan diri apabila terdengar jeritan, katanya.

“Tembakan mengenai anggota tentera berpangkat koperal berusia 29 tahun menyebabkan peluru terkena bahagian pinggang kiri sehingga menembusi buah pinggang dan hati,” ujarnya.

Anggota Batalion Ke-3, Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) yang berpangkalan di Kem Oya, Sibu itu dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada pada Isnin lalu sebelum dirujuk ke Hospital Kapit selepas kejadian jam 2.45 pagi.

Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 7.43 pagi.

Ketika kejadian mangsa yang berasal dari Pakan, Julau bersama satu kompeni 3 RRD sedang menjalani latihan Eksesais Pasak Bumi Siri 2/2024 di kawasan hutan berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here