Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan minuman keras seludup dalam serbuan 4 September lepas di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Sebanyak 25 kertas siasatan telah dibuka membabitkan kes rampasan minuman keras seludup di negeri ini sejak Januari sehingga September tahun ini.

Menurut Pengarah Jabatan Kastam Diraja Pahang (JKDM) Pahang, Mohd Asri Seman, seramai 14 individu juga telah ditahan bagi membantu siasatan di mana tiga daripada mereka telah diheret ke Mahkamah.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 20-an dan 40-an, merupakan warganegara dan ada melibatkan warga asing,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam di sini hari ini.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman (tengah) dalam sidang media di Wisma Kastam Pahang

Beliau berkata, kes yang disiasat itu melibatkan rampasan pelbagai jenis dan jenama minuman keras berjumlah 13,557.07 liter dengan anggaran nilai RM217,741.71 yang membabitkan cukai dan duti berjumlah RM638,216.17.

Tambah Mohd Asri, ia termasuk rampasan dalam satu serbuan di sebuah gudang di daerah ini pukul 4 petang pada 4 September lepas.

“Semasa serbuan itu, kita menemui minuman keras pelbagai jenama yang tidak membayar cukai bernilai RM23,238.58 dan ketika serbuan, gudang itu tidak mempunyai pekerja atau penjaga,” katanya.

Jelasnya, pihak JKDM Pahang kini sedang mengesan pemilik atau penyewa premis gudang tersebut dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 74 (1) C) Akta Eksais 1976 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM50,000 (yang mana lebih tinggi), sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda amaun duti eksais atau RM500,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here