PUTRAJAYA – TikTok telah mengambil tindakan menurunkan kandungan jualan dadah menerusi aplikasi berkenaan seperti yang didedahkan baru-baru ini.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, terkini kandungan berkenaan tidak lagi boleh diakses.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan terus memantau aktiviti penjualan dadah menerusi platform lain dalam negara.

“Carian pagi tadi menunjukkan pihak TikTok mengambil tindakan menurunkannya. Akaun itu tidak lagi boleh diakses, ia telah hilang.

“Walaubagaimanapun berdasarkan produk tersebut saya minta SKMM meluaskan siasatan dan carian untuk mengenal pasti pihak lain yang cuba menjual dadah seperti ini di platform bukan hanya TikTok tetapi yang lain juga,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Selain itu beliau menambah, SKMM akan meminta penjelasan daripada pihak TikTok tentang bagaimana akaun penjualan dadah boleh diakses sebelum ini.

Terdahulu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mengesahkan terdapat satu laporan polis dibuat mengenai penjualan dadah di aplikasi berkenaan.

Baru-baru ini, gempar pendedahan di laman X mendakwa dadah dijual secara terang-terangan di platform e-dagang, TikTok.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here