Annuar Muda ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Matahari, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa memaklumkan beliau tidak ada masalah dengan keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu menegaskan, tidak ada sebarang isu antara beliau dengan anak-anak atau adik beradik Allahyarhamah dan bertemu di rumah mereka malam tadi.

Menurutnya, semuanya berjalan dengan baik dan mesra tanpa mengira atau membeza-bezakan parti politik.

“Saya pergi solat maghrib di rumah bekas wakil rakyat ADUN Mahkota itu dengan saya menjadi imamnya. Lepas itu baca Yassin dan buat tahlil yang saya kendalikannya.

“Kemudian solat Isyak bersama-sama mereka dengan anak arwah menjadi imamnya. Saya tak tanya dia parti apa, abang arwah datang saya pun tak tanya dia parti apa.

“Untuk apa gaduh-gaduh, jaga persahabatan dan jaga silaturahim,” katanya ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Matahari di sini malam tadi.

Turut hadir Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin.

Annuar menerusi Facebook miliknya sebelum ini memberitahu akan mengadakan majlis khas untuk Allahyarham Sharifah Azizah dan majlis maulidur rasul, semalam dengan kerjasama keluarga arwah.

Menurut Annuar, itu merupakan antara program yang disusun Perikatan Nasional (PN) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun Pada 17 September lalu, anak anak sulung Allahyarham Sharifah Azizah mempersoalkan kenyataan Annuar berkenaan majlis tahlil khas tersebut dengan kerjasama keluarga Allahyarham.

Menerusi kenyataan dalam Facebook, Wan Mohd Hibatullah Abu Bakar menafikan perkara itu malah menegaskan, keluarganya tidak mengetahui mengenai majlis yang dimaksudkan oleh Annuar.

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas Annuar itu yang disifatkan tidak menghormati perasaan ahli keluarga Allahyarhamah Sharifah Azizah.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here