Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Forum Ilmuan Malaysia Madani ketika di Grand Hyatt Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mahu menyelesaikan isu melibatkan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Jelasnya, beliau tidak akan mengalah dengan kecurangan yang telah dibongkarkan oleh pihak berkuasa terhadap kumpulan itu.

“Saya setakat ini nekad dan tidak akan mengalah. Kalau (isu GISBH) itu kena kompromi, tidak ada makna saya jadi Perdana Menteri,” katanya dalam Forum Ilmuan Malaysia Madani di ibu negara, malam tadi.

GISBH mempunyai kaitan dengan bekas pemimpin dan pengasas pertubuhan al-Arqam, Allahyarham Ashaari Mohammad dan al-Arqam yang diharamkan kerajaan pada 1994.

Ia susulan penemuan bahan-bahan bacaan berkaitan ajaran sesat GISBH selepas beberapa serbuan di negeri-negeri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kaedah perniagaan GISBH dimudah cara dengan pegangan Aurad Muhammadiah versi kumpulan itu sendiri.

PolisĀ  telah memperolehi lanjutan reman bagi siasatan terhadap ahli GISBH di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selama empat hari bermula hari ini sehingga 29 September ini.

Kata beliau, ia melibatkan 34 ahli termasuk individu yang memegang jawatan tertinggi GISBH. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here