Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melayan tuntutan dan kehendak DAP sekiranya ingin kekal sebagai Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana DAP adalah parti terkuat dalam gabungan kerajaan perpaduan.

“Parti yang terkuat dalam gabungan ini ialah DAP dengan 40 kerusi. Bagi PMX tuntutan DAP perlu dilayan jika ia ingin kekal sebagai PM.

“Sebaliknya UMNO dengan wakil rakyat Melayunya agak tidak senang bekerjasama dengan DAP. Jika UMNO tidak sokong gabungan, Sarawak juga tidak akan sokong,” kata bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, gabungan yang diterajui Anwar bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Tambah beliau, penubuhan kerajaan perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hanyalah berasaskan kepada kepentingan diri.

“Sebelum pilihan raya UMNO dakwa tidak akan terima Anwar dan DAP. PKR, DAP dan Amanah pula tidak akan terima UMNO.

“Tetapi kerana pemimpin UMNO mungkin dipenjara dan pemimpin PH tidak mungkin jadi PM, maka parti-parti yang ditolak oleh rakyat ini bergabung untuk jadi kerajaan.

“Apabila gabungan ini diri kerajaan maka parti-parti Sarawak dan Sabah pun menyertai gabungan.

“Jumlah Pakatan Harapan, UMNO dan Sarawak/Sabah ialah 144; menjadikan Kerajaan memiliki lebih dari 2/3 wakil rakyat. Memang kuat sekarang,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir menasihatkan agar gabungan pembangkang tidak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan pembangkang.

“Wakil rakyat pembangkang jangan tandatangan MOU,” nasihat Mahathir.

Media sebelum ini melaporkan Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU berkaitan peruntukan pembangkang daripada kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan menolak dua draf cadangan MoU kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here