Pengembara luar negara semasa membuat pemeriksaan dokumen di kaunter Jabatan Imigresen ketika Pelaksanaan 'Quick Response Team' (QRT) Mengatasi Kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 01 FEBUARI 2023.

MALAYSIA CORRUPTION WATCH (MCW) amat menghargai komitmen Kementerian Dalam Negeri dan pengurusan kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam memperkenalkan tindakan reformasi proses kerja dan penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh yang terkini.

Berikut adalah memorandum cadangan penambahbaikan daripada MCW untuk Jabatan Imigresen Malaysia selain daripada reformasi terkini yang akan dilaksanakan tersebut.

1. Larangan Penggunaan TELEFON BIMBIT Secara Menyeluruh:

Menguatkuasakan larangan penggunaan telefon bimbit di tempat kerja untuk semua pegawai yang bertugas, seperti yang dilaksanakan di negara Eropah dan Amerika. Sistem serupa juga dilaksanakan di Jepun dan Korea Selatan, di mana pegawai penguatkuasa mereka tidak dibenarkan membawa alat peribadi semasa bertugas.

Larangan ini bertujuan untuk mengurangkan potensi manipulasi atau komunikasi dengan pihak luar yang boleh mengundang kegiatan rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Penggunaan telefon hanya dibenarkan dalam kes kecemasan atau komunikasi rasmi melalui telefon pejabat.

Pegawai yang bertugas hanya dibenarkan membawa wang tidak lebih daripada RM50 untuk kegunaan harian. Tindakan tegas mesti dikenakan jika wang yang melebihi amaun tersebut berada dalam simpanan atau pakaian mereka semasa bertugas.

2. Mewajibkan Penggunaan Kamera Badan (Body Camera):

Setiap pegawai imigresen wajib menggunakan kamera badan, terutamanya ketika menjalankan operasi lapangan dan di kaunter imigresen di lapangan terbang. Negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom telah memperkenalkan langkah ini untuk meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban semasa berinteraksi dengan orang ramai.

Kamera badan juga boleh menjadi bukti sah dalam penyiasatan jika berlaku salah laku atau tuduhan palsu. Penggunaannya akan membantu memantau interaksi pegawai dengan orang awam, meningkatkan ketelusan, serta memberi perlindungan kepada pegawai daripada dakwaan yang tidak berasas.

3. Pengendalian Isu Not-To-Land (NTL):

Protokol NTL yang lebih sistematik dan efisien perlu diterapkan bagi memastikan penilaian yang lebih cepat tetapi tetap komprehensif terhadap penumpang yang tidak dibenarkan masuk. Penggunaan teknologi canggih seperti AI dalam sistem imigresen dapat membantu dalam mengenal pasti pelancong yang mencurigakan, sekali gus mengurangkan masa pemprosesan dan tekanan kepada pegawai di kaunter.

Setiap pegawai imigresen di lapangan terbang perlu melaksanakan ‘soalan NTL wajib’ bagi pelancong dari negara-negara berisiko tinggi walaupun ia mungkin melambatkan proses di kaunter. Ini akan mengurangkan kemasukan pelancong yang tidak mempunyai tujuan yang jelas atau dokumen yang sah serta mencegah kemasukan pendatang tanpa izin.

4. Hindarkan Proses ‘Pemutihan Pendatang Asing’:

Proses pemutihan ini amat tidak diperlukan kerana ia menjadi alat bagi kartel atau pihak tertentu mendapatkan keuntungan dan membuka ruang yang luas bagi berlakunya rasuah. Sekiranya perlu dilaksanakan, proses pemutihan ini haruslah lebih telus dan dikawal ketat, dengan setiap permohonan diluluskan secara digital dan bebas daripada sebarang campur tangan manusia.

MCW bersedia memainkan peranan dalam memantau program pemutihan ini bagi memastikan ia dilaksanakan dengan telus tanpa campur tangan pihak yang berkepentingan.

5. Tindakan Tatatertib yang Tegas dan Lebih Keras:

Hukuman yang lebih tegas, termasuk pemindahan ke kawasan pedalaman atau pemecatan segera, harus dikenakan kepada pegawai yang terlibat dalam kes rasuah. Selain itu, gaji pegawai tersebut mesti disekat sepanjang proses penyiasatan sebagai langkah pencegahan. Pegawai yang disyaki terlibat dalam salah laku tidak dibenarkan kembali bertugas sehingga terbukti tidak bersalah.

Di beberapa negara seperti Singapura, pegawai yang disyaki terlibat dalam salah laku atau rasuah diletakkan di bawah pengawasan ketat dan dipindahkan jauh daripada kawasan sensitif sehingga siasatan selesai.

Pihak yang memberi rasuah (syarikat, individu, agen) juga mesti ditindak segera dengan tangkapan agresif dan hukuman berat bagi menghalang jenayah rasuah daripada terus berlaku.

6. Penggunaan Sistem Berasaskan Blockchain untuk Visa dan Pasport:

Negara maju seperti Estonia telah menggunakan teknologi blockchain untuk menguruskan visa dan pasport secara digital. Sistem ini meningkatkan ketelusan, meminimalkan risiko pemalsuan dokumen, dan melindungi integriti data. JIM boleh mempertimbangkan untuk menggunakan sistem ini bagi mengurangkan manipulasi dalam pengurusan dokumen imigresen.

7. Pemantauan Melalui Artificial Intelligence (AI) dan Big Data Analytics:

Memanfaatkan AI dan Big Data Analytics untuk mengenal pasti corak-corak mencurigakan dalam operasi imigresen, seperti aliran kemasukan yang luar biasa atau tindakan pegawai yang berulang kali berurusan dengan agen tertentu. Teknologi ini membantu dalam pemantauan yang lebih tepat dan cepat.

8. Sistem Pelaporan Rasuah Tanpa Nama yang Selamat:

Membina platform laporan rasuah tanpa nama (anonymous) dengan teknologi enkripsi tinggi untuk menggalakkan lebih ramai pegawai dan orang awam melaporkan kesalahan. Negara-negara seperti New Zealand dan Kanada menggalakkan ‘whistleblowers’ melalui sistem ini yang memastikan keselamatan dan kerahsiaan pemberi maklumat.

9. Audit Bebas dan Berkala oleh Pihak Ketiga dan Jawatankuasa Pemantau:

Mengamalkan audit bebas dan berkala oleh pihak ketiga ke atas prosedur imigresen dan operasi untuk memastikan tiada ketirisan atau penyelewengan. Jabatan Imigresen Malaysia juga perlu menimbang penubuhan Jawatankuasa Bebas Pemantau, seperti model lima jawatankuasa bebas yang dimiliki oleh SPRM. Jawatankuasa ini boleh terdiri daripada NGO seperti MCW, wakil kerajaan, ahli akademik, dan masyarakat sivil.

10. Pengenalan Semula Sistem “Snake-Q” di Kaunter Lapangan Terbang:

Sistem ini menghalang penumpang daripada memilih kaunter tertentu yang mungkin terlibat dalam urusan tidak sah. Penumpang akan dilayani mengikut giliran dalam satu barisan panjang, di mana mereka tidak dapat memilih kaunter tertentu.

Kaedah ini akan dapat mengatasi masalah ‘counter setting’ secara menyeluruh. Ianya masih diamalkan di negara-negara maju sejak berpuluh tahun dahulu dan terbukti berkesan.

11. Pengurangan Kebergantungan kepada Ejen – Kebenaran Hanya kepada Majikan Berlesen:

Hanya majikan yang sah dengan kelulusan yang lengkap dibenarkan mengambil pekerja asing di lapangan terbang. Ejen atau pihak ketiga tidak dibenarkan mengurus pengambilan pekerja asing ini.

Majikan yang terlibat dengan ‘counter setting’ mesti di senarai hitam dari mengambil pekerja asing selama 10 tahun.

12. Pengurangan Kos Sara Hidup dan Pengawalan Harga Barangan Asas:

Kerajaan perlu memperkenalkan mekanisme pengawalan harga barangan asas dan kos perkhidmatan khusus untuk pegawai berpangkat rendah. Beberapa negara maju mengawal kos sara hidup pegawai penguatkuasa dengan memberi subsidi untuk barangan keperluan asas, mengurangkan tekanan kewangan yang mungkin mendorong mereka kepada rasuah.

13. Penambahan Peruntukan Kewangan untuk Program Pembangunan Jati Diri dan Kerohanian:

Tambah dan salurkan peruntukan kewangan yang tinggi untuk melaksanakan program-program pembangunan jati diri dan kerohanian secara berkala setiap bulan. Program ini boleh melibatkan kerjasama dengan pelbagai institusi seperti Jabatan Agama Islam Negeri, EAIC, PDRM, SPRM, Jabatan Audit Negara, dan Jabatan Penjara.

14. Penambahbaikan Skim Perkhidmatan dan Laluan Kenaikan Pangkat:

Mengkaji dan menambahbaik skim perkhidmatan pegawai imigresen dari segi laluan kerjaya dan saraan. Peningkatan ini akan menawarkan pakej gaji dan faedah yang lebih kompetitif bagi memastikan pegawai tidak tergoda dengan habuan luar yang lebih lumayan.

15. Pengukuhan Kawalan Dalaman dan Pemerkasaan Unit Integriti:

Menguatkan kawalan dalaman Jabatan Imigresen melalui pemerkasaan Unit Integriti di setiap jabatan imigresen negeri dan cawangan. Menempatkan pegawai kader SPRM untuk mengendalikan urusan aduan salah laku dengan lebih responsif.

16. Penubuhan Bahagian Agama dan Kaunseling Imigresen (BAKI):

Mewujudkan jawatan Pegawai Hal Ehwal Islam dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam dengan menubuhkan Bahagian Agama dan Kaunseling Imigresen (BAKI). Bahagian ini bertanggungjawab dalam pengukuhan kerohanian dan program pembetulan (corrective) bagi pegawai yang melakukan kesalahan buat kali pertama.

Dengan cadangan-cadangan ini, Jabatan Imigresen Malaysia diharapkan dapat berfungsi dengan lebih cekap dan berintegriti serta mendapat keyakinan penuh daripada masyarakat serta kerajaan.

MCW menawarkan khidmat untuk menganggotai badan bebas penasihat dan pemantau dalam memastikan keberhasilan penambahbaikan ini.

Jais Abdul Karim
Presiden
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast