Mas Ermieyati ditemui pemberita ketika hadir di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Matahari, Kluang malam tadi.

KLUANG – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menganggap kontroversi Khutbah Jumaat di semua surau dan masjid di Melaka 20 September lalu tidak akan menimbulkan keresahan atau perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Mas Ermieyati yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpendapat, isu tersebut sengaja dipolitikkan dan UMNO mengambil kesempatan dalam situasi tersebut.

“Kita hanya melihat dia (Tan Sri Abdul Hadi Awang dipaparkan dalam slaid khutbah Jumaat) sebagai seorang tokoh (bukan ahli politik) namun kerajaan negeri (Melaka) telah bersikap tidak adil terhadap pegawai yang terlibat sehingga ada dipecat daripada agensi berkenaan.

“Saya tidak nampak adanya kegusaran mahupun pergaduhan berlaku selepas isu tersebut menjadi kecoh, tiada. Saya melihat orang UMNO dan kerajaan negeri yang sengaja mengambil kesempatan menggunakan isu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Matahari di sini malam tadi.

Khutbah Jumaat di semua surau dan masjid di Melaka pada 20 September lalu mencetuskan kontroversi apabila slaid yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM) memaparkan wajah Abdul Hadi selain Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam slaid JAIM yang bertajuk Negaraku, Tanah Air Ku bersempena sambutan Hari Malaysia 16 September lalu wajah Abdul Hadi yang juga Presiden Pas turut diselitkan.

Gambarnya diletakkan bersebelahan sepotong ayat berbunyi; Keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia.

Kesilapan itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pengguna media sosial kerana agensi kerajaan sendiri tidak mengemas kini infomasi pentadbiran baharu dan didakwa tidak cakna dengan larangan penyebaran agenda politik di masjid.

JAIM bagaimanapun dalam satu kenyataan pada 22 September membuat permohonan maaf atas kekhilafan tersebut dan menjelaskan terdapat ralat dalam infografik yang disediakan pihaknya.

Susuan itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, empat pegawai termasuk seorang Ketua Penolong Pengarah di JAIM sudah dikenakan tindakan tatatertib susulan kecuaian memasukkan gambar pemimpin politik dalam paparan video khutbah Jumaat di negeri itu, minggu lalu.

Katanya, tindakan termasuk memecat dan menukar jawatan itu diambil berikutan kecuaian berkenaan menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri terbabit.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, seharusnya mereka yang terlibat hanya diberi amaran tegas tanpa melibatkan penukararan jawatan mahupun dipecat.

“Kerajaan negeri ketika ini mengamalkan sistem demokrasi yang mahukan reformasi serta pembaharuan dalam pentadbiran seharusnya mereka lebih sikap terbuka dalam perkara ini,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here