Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bercakap pada sidang media mengenai isu rumah amal GISB ketika di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan 34 tahanan kes GISBH yang telah selesai menjalani tempoh reman akan ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Menurut beliau, seramai 127 tahanan dibebaskan hari ini selepas selesai tempoh reman manakala 24 ahli lagi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan isterinya dilanjutkan reman selama empat hari lagi.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

ARTIKEL BERKAITAN

CEO GISBH dan isteri antara 24 individu disambung reman 4 hari

“Selain itu, berdasarkan kepada keterangan yang diperoleh polis, sebanyak 34 tahanan yang telah selesai menjalani tempoh reman akan ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya.

Semalam, media melaporkan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kes berkaitan GISBH akan diteruskan secara berfasa dengan menggunakan semua peruntukan undang-undang sedia ada.

Ini termasuk di bawah SOSMA.

Dalam pada itu, Razarudin turut mengesahkan hasil siasatan PDRM mendapati kaedah perniagaan kumpulan itu adalah mengikut pegangan Aurad Muhammadiah versi GISBH.

Katanya, pegangan kumpulan itu sangat taksub dan mendewakan pemimpin sehingga memutarbelitkan ajaran Islam yang sebenar.

“Proses ini mirip seperti proses indoktrinisasi yang mana menjadi nilai kehidupan yang dipercayai dan dianuti sepenuh hati oleh pengikut-pengikutnya.

“Doktrin ini sangat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini dan kebajikan serta masa depan pengikut-pengikutnya yang bergantung sepenuhnya kepada pemimpim-pemimpin mereka sahaja,” ujarnya lagi.

Selain itu, hasil kerjasama polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut mendapati GISBH tidak pernah membayar cukai yang berkaitan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dalam perkembangan berkaitan, PDRM turut mengesan hantaran yang dimuat naik oleh pemilik Facebook Dzulkifli Salleh yang kononnya mengumpul dana untuk membantu anak-anak ahli GISBH yang terkesan akibat isu itu.

Menurut Razarudin, usaha tersebut dipercayai satu cubaan untuk mengambil kesempatan di atas isu tersebut.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak cepat terpedaya dengan usaha-usaha sedemikian selain diminta tampil untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis.

Malah beliau juga meminta supaya tahanan-tahanan GISBH yang telah dibebaskan dengan jaminan untuk tampil kepada pihak polis sekiranya memerlukan sokongan kebajikan. -MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here