Skuad Kebangsaan Harimau Malaya,. Foto AIZATZAINAL, 11 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada hari ini mengesahkan skuad bola sepak kebangsaan Harimau Malaya akan menentang India dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1.

Katanya, skuad kendalian Ketua Jurulatihnya Pau Marti Vicente akan bertandang ke tempat lawan untuk menentang pasukan the Blue Tigers pada 19 November ini.

India kini berada pada kedudukan ke-126 dunia iaitu enam anak tangga dibezakan dengan Malaysia yang menduduki ranking ke-132 dunia berdasarkan ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikeluarkan pada 19 September lalu,

Venue dan waktu sepak mula perlawanan membabitkan pertemuan kedua-dua pasukan terbabit akan dimaklumkan selepas ia dimuktamadkan oleh Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), selaku tuan rumah.

Perlawanan tersebut bakal berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA, 11 hingga 19 November 2024 yang mana FAMA pada ketika ini sedang mengesahkan satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bagi menentang satu lagi pasukan lain dalam tempoh tersebut.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia bertemu India pada 13 Oktober 2023 untuk perlawanan Pestabola Merdeka 2023 yang mana skuad Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan Gon pada ketika itu mencatatkan kemenangan 4-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sebelum ini, Malaysia pernah bertandang ke India bagi siri dua perlawanan persahabatan menentang negara itu pada 2011 menyaksikan skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K. Rajagobal seri 1-1 pada aksi pertama di Guwahati dan tewas 3-2 pada aksi kedua yang telah berlangsung di Kolkata.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here