Onn Hafiz (tengah) dan barisan Exco kerajaan negeri ditemuramah media dalam di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Saujana, Johor Bahru, semalam

JOHOR BAHRU – Isu Kerajaan Perpaduan yang dibangkitkan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hanya untuk melaga-lagakan rakyat di negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemimpin pembangkang dari Selangor itu yang menimbulkan isu tersebut disifatkan tidak bertanggungjawab.

Tegas beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, kestabilan di Johor ketika ini sepatutnya dikekalkan dan tidak perlu diganggu oleh pemimpin luar.

“Kita di Johor, bekerjasama baik dengan rakan- rakan daripada pihak pengimbang (pembangkang). Johor satu-satunya negeri yang ada pihak pengimbang,” katanya dalam temubual di kediaman Menteri Besar Johor di Saujana di sini semalam.

Beliau menyifatkan pemimpin seperti itu hanya bermusim dah akan pulang semula selepas PRU DUN Mahkota tamat.

“Saya hendak beritahu rakyat mereka ini pemimpin bermusim yang datang untuk melaga-lagakan, bagi fitnah dan sebagainya yang akhirnya pulang ke kawasan masing- masing.

“Selepas ini yang tinggal barisan kami (kerajaan negeri) yang akan beri khidmat kepada rakyat, barisan ini juga yang akan bekerjasama dengan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Oleh itu, saya minta rakyat tidak termakan dengan hasutan-hasutan yang tidak bertanggungjawab  ini,” ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu.

Minggu lalu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan mencabar Onn Hafiz supaya mengumumkan pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri ini sekiranya BN memenangi PRK DUN Mahkota.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata, Onn Hafiz sepatutnya bersikap terbuka dan adil dalam hal itu kerana sehingga kini tiada Kerajaan Perpaduan di Johor meskipun mendapat sokongan parti komponen daripada Pakatan Harapan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here