DATUK Seri Mohamad Sabu ketika berucap pada majlis Kebudayaan Mahkota bersama sekumpulan masyarakat Cina di Kampung Masjid Lama, Kluang, Johor, malam tadi.

KLUANG – Proses peralihan kerajaan seharusnya berlaku menerusi pilihan raya umum iaitu setiap lima tahun sekali, bukannya secara ditumbangkan `di tengah jalan’.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, rakyat sudah memerhatikan bagaimana negara berada dalam keadaan politik yang tidak stabil selepas 2018, yang mana Perdana Menteri bertukar dalam tempoh lima tahun.

Keadaan itu, katanya, menimbulkan kebimbangan kepada pelabur-pelabur asing yang menghakis keyakinan mereka untuk meabur di negara ini, sekali gus menyebabkan perkembangan ekonomi negara terbantut.

“Tetapi hari ini (di bawah Kerajaan Perpaduan), negara kita aman dan kembali stabil, kita dapat lihat bukan sahaja pelabur asing mula datang, malah pelancong luar negara juga semakin ramai khususnya pelancong dari China,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Kebudayaan Mahkota bersama sekumpulan masyarakat Cina yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di Kampung Masjid Lama, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyelar pihak-pihak yang mendakwa kerajaan hari ini hanya memberi tumpuan untuk mengkayakan kaum Cina.

Sedangkan, kata beliau, masyarakat Cina serta kaum-kaum lain yang kaya banyak membayar cukai sama ada cukai korporat, cukai syarikat atau cukai pendapatan kepada kerajaan.

Jelasnya, kerajaan menerusi cukai itu dapat memulangkan semula kepada rakyat keseluruhannya dalam bentuk pembangunan negara.

“Ertinya, semakin ramai rakyat yang kaya, negara juga makin kaya, kerajaan juga akan untung kerana kerajaan dapat guna duit itu (cukai) untuk bawa pembangunan kepada rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, kekayaan dalam kalangan rakyat itu tidak dapat berlaku tanpa keamanan dalam negara yang didasari oleh semangat saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira kaum.

Jelas beliau, semua kaum juga harus berlumba untuk meningkatkan ekonomi masing-masing tanpa menghina atau menindas mana-mana kaum bagi mengelak rakyat berpecah-belah.

“Orang Melayu misalnya mesti cari jalan bagaimana mereka boleh menjadi lebih baik (dari segi kekayaan), orang Cina yang sudah berjaya pula mesti bantu kaum-kaum lain untuk berjaya.

“Barulah kita dapat membina negara yang aman dan sejahtera seterusnya menjadi negara yang paling hebat di rantau ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast