Azmin ketika ditemuramah dalam program makan tengah hari Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama media di Taman Seri Impian, Kluang, hari ini.

KLUANG – Terdapat tanda-tanda positif masyarakat Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mempunyai keyakinan dan harapan terhadap Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Bilik Gerakan Utama (BGU) PN bagi PRK DUN Mahkota, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkembangan itu boleh dilihat ketika berkempen di kawasan komuniti Cina.

“Mereka (masyarakat Cina) menyambut kami dengan mesra dan senyum lebar semasa berkempen dan mengedarkan risalah calon PN di tempat mereka. Ini berbeza dengan pilihan raya sebelum ini.

“Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kluang juga menjemput Pengerusi Perikatan PN, Tan Sri Muhyuddin Yassin untuk berdialog dengan komuniti perniagaan.

“Mereka turut menyerahkan memorandum kepada kami yang menyuarakan isu berkaitan infrastruktur, kesalinghubungan dan masalah ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program makan tengah hari Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama media di Taman Seri Impian, di sini, hari ini.

Ketua Penerangan PN itu mengulas mengenai peluang PN dalam menarik pengundi Cina untuk mengundi calon gabungan politik tersebut dalam PRK DUN Mahkota.

Sementara itu, Mohamed Azmin merayu semua pengundi termasuk yang duduk di luar supaya menjalankan tanggungjawab mengundi pada Sabtu ini.

“Saya juga rayu semua pengundi daripada kalangan orang muda dan penuntut universiti yang sedang cuti semesta untuk mengundi,” ujarnya.

Katanya, PN meletakkan calon yang bukan sahaja sudah popular tetapi ikhlas, boleh berkhidmat dengan cemerlang dan dapat diterima orang Melayu, Cina dan India di Mahkota.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

PN mempertaruhkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, manakala Barisan Nasional (BN) meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here