Tangkap layar video yang tular memaparkan pergaduhan di sebuah rumah di pangsapuri di Jalan Bayu, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Tidak puas hati dan perselisihan faham antara pasangan kekasih yang mahu berjumpa anak mereka menjadi punca pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah pangsapuri di Jalan Bayu di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pasangan  berkenaan mahu berjumpa anak perempuan mereka berusia dua tahun yang dijaga oleh ubu kepada lelaki berkenaan.

Lelaki tersebut berusia 32 tahun manakala pasangannya berusia 30 tahun.

“Suspek lelaki dikatakan membuat provokasi sebelum bergaduh di rumah.

“Kejadian ini diketahui pada pukul 1.15 petang selepas seorang wanita berusia 28 tahun melaporkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

“Pihak polis turut menerima video kes merusuh di tempat awam tersebut turut tular dalam media sosial pada pukul 9.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan membuat tangakapan tiga suspek lelaki dan tiga wanita berusia 28 hingga 32 tahun.

Menurutnya, polis giat menjalankan usaha mengesan beberapa suspek lagi dipercayai terlibat dalam kes itu termasuk suspek yang melakukan provokasi sehingga rusuhan terjadi.

Raub berkata, hasil semakan rekod lampau kesemua suspek mendapati lima daripada mereka  tiada rekod lampau jenayah.

Sementara seorang suspek yang juga pasangan lelaki tersebut mempunyai lima rekod jenayah lampau kes penyalahgunaan dadah.

“Hasil saringan ujian air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif dadah. Kes disiasat di bawah seksyen 148 kanun keseksaan,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi satu minit 27 saat memaparkan sekumpulan individu bergaduh dengan memukul menggunakan batang kayu atau besi.

Video tersebut turut memaparkan tindakan seorang lelaki yang menaiki kereta merah beberapa kali merempuh kumpulan individu tersebut.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here