PUTRAJAYA- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memberi ulasan lanjut berkenaan isu daftar masuk hotel dan inap desa pukul empat petang seperti yang dilaporkan baru-baru ini.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, kerajaan mengambil maklum keluhan rakyat mengenai perkara berkenaan.
“Walaupun isu ini tidak dibincangkan di dalam mesyuarat hari ini, saya akan panjangkan kepada MOTAC untuk memberi maklum balas,” katanya.
Menteri Komunikasi itu berkata demikian menerusi sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan tindakan sesetengah hotel menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula pukul 4 petang dan keluar pukul 11 pagi.
Tindakan berkenaan mencetuskan perbincangan warga maya yang rata-ratanya merasakan tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel dipetik sebagai berkata, pemilik hotel dan inap desa bebas menetapkan masa daftar masuk kerana ia tidak termaktub di dalam undang-undang perhotelan.- MalaysiaGazette