SEBERANG PERAI – Tindakan seorang peruncit menyorok pelbagai jenis barang kawalan di sebuah rumah teres dua tingkat atas alasan ruang kedainya kecil membawa padah selepas kediaman di Pintas Tenggiri di sini, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, hari ini.
Serbuan jam 10 pagi itu membawa kepada penemuan sebanyak 986 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi, 84 kilogram minyak botol pelbagai jenama, 372 kg gula pasir kasar 1kg, 141.2 kg tepung gandum bernilai RM 4,849.
Pengarahnya, S.Jegan berkata, stor simpanan haram yang terletak 50 meter dari kedai runcit milik warga tempatan itu diserbu susulan hasil aduan orang awam dan risikan selama sebulan.
Kata beliau, ketika serbuan dibuat premis berkenaan dijaga pekerja warga asing berusia 28 tahun namun penjaga itu mendakwa tiada bekalan minyak sebelum membawa kepada penemuan stor tersebut.
“Hasil siasatan mendapati peniaga itu mempunyai lesen berniaga barang kawalan dengan had simpanan 10,000kg namun dia didapati menyimpan barangan tersebut di alamat yang tidak didaftarkan atas alasan ruang kedainya kecil.
“Jadi kita jalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada berlaku penyelewengan atau barang subsidi itu dijual lebih mahal kepada warga asing,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.
Tambah Jegan, kes itu disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan seseorang selain daripada badan korporat boleh didenda tidak melebihi RM 1juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette