KUALA LUMPUR – Keputusan membatalkan perancangan sebuah kementerian dan agensi untuk membawa 68 pegawai ke pameran di Berlin, Jerman mendapat sokongan penuh darioada Jemaah Menteri, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, memasuki dua tahun pentadbirannya, tidak pernah ada mana-mana menteri serta pimpinan parti politik dalam gabungan kerajaan yang mempertikaikan keputusan berkaitan tata kelola.
“Setakat dua tahun ini saya dengan team dalam Kerajaan Perpaduan, belum ada sekali mana-mana menteri atau pimpinan yang mempertikai keputusan kita (seperti) pertama, mesti tender, jangan bagi kebocoroan.
“Dan bila baru-baru ini saya terjah satu agensi kerajaan hantar 68 orang ke pesta di Berlin, saya dapat sokongan penuh Kabinet. Maknanya ini pertama kali dalam sejarah Perdana Menteri kata tak payah pergi,” katanya dalam Forum Ilmuan Malaysia Madani di ibu negara, malam tadi.
Jelas Anwar lagi, beliau perlu bertegas berhubung perkara itu bagi memastikan amalan sedemikian tidak diteruskan.
“Kenapa saya perlu buat? Sebab my collegues bagi sokongan penuh. Menteri nak pergi juga kami kawal. Tapi bila mari agensi di bawah, 20 (pegawai) nak pergi, (yang) mesyuarat lapan (orang). You have to stop this,” katanya lagi.
Jumaat lalu, Anwar berkata, semua projek, lawatan dan tugasan ke luar negara yang melibatkan kementerian, syarikat serta agensi kerajaan perlu dirujuk kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan masing-masing, serta mendapatkan kelulusan Menteri berkenaan.
Katanya, keputusan untuk mendapatkan kelulusan menteri dilakukan kerana terdapat lembaga di dalam syarikat mahupun agensi kerajaan yang membuat keputusan dengan memihak kepada kepentingan sendiri.
Anwar berkata, beliau sendiri telah membatalkan satu permohonan melibatkan kementerian dan agensi kerajaan yang menurutnya telah mendaftar sehingga 68 kakitangan hanya untuk menghadiri satu pameran kecil di Berlin. – MalaysiaGazette