Seorang pengemis warga China mengemis ditahan di sebuah pasar malam di Bandar RyaJohor Bahru

JOHOR BAHRU – Hanya bermodalkan kekurangan fizikal seperti tiada tangan atau kaki, seorang pengemis warga negara China mampu memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.

Perkara tersebut didedahkan selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor melakukan serbuan di sekitar pasar malam dan beberapa premis sekitar bandar raya ini.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seramai empat pengemis orang kurang upaya (OKU) diberkas dalam Ops Serkap kelmarin dan semalam.

“Sikap pemurah rakyat Malaysia menyebabkan mereka lebih agresif meminta wang.

“Kegiatan mereka ini dipercayai diatur satu sindiket dan dilakukan secara berkumpulan selain sering berpindah randah.

“Semasa operasi dilakukan, terdapat cubaan melarikan diri ke Ipoh, Perak dengan menaiki bas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, keempat-empat lelaki warga China yang ditahan itu berusia antara 36 hingga 67 tahun.

Dalam serbuan itu ujarnya, turut dirampas wang tunai berjumlah lebih RM9,000 yang dipercayai merupakan hasil mengemis.

Menurut Mohd Rusdi, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya memandang serius isu sindiket dan pengemis dalam kalangan warga asing.

“Kita menggesa orang ramai menyalurkan maklumat tentang aku sedemikian di kawasan mereka,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here