ling tian soon
Ling Tian Soon

KLUANG – Parti MCA yakin pengundi Cina khususnya penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak akan memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Sabtu ini.

Ketua Pemuda Kebangsaan MCA, Ling Tian Soon berkata, pengundi Cina kini disifatkan sangat matang dalam berpolitik dan menyedari apa yang dimahukan serta perlu diberikan keutamaan di kawasan mereka.

Jelas beliau, pengundi Cina juga tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang memburuk-burukkan mana-mana pihak oleh pihak tidak bertanggungjawab apatah lagi yang disebarkan menerusi surat layang.

“Pengundi Cina mereka tahu apa yang penting untuk kawasan mereka khususnya untuk memastikan Johor ini untuk terus maju dan mereka akan membuat keputusan (mengundi) pada Sabtu ini,” katanya kepada pemberita, di sini, malam tadi.

Tian Soon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar ditanya berkenaan kemungkinan pengundi Cina akan memboikot PRK DUN Mahkota Sabtu ini, khususnya disebabkan pergeseran yang berlaku antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berhubung isu sijil halal.

Kebimbangan itu semakin tinggi selepas terdapat cubaan menghasut pengundi Cina supaya tidak keluar mengundi yang disebarkan menerusi surat layang kononnya bagi menghukum UMNO.

Dalam PRK Sungai Bakap pada Julai lalu, peratusan pengundi Cina dilaporkan berkurang lebih 10 peratus berbanding pilihan raya negeri (PRN) menyebabkan calon Perikatan Nasional (PN) menang dengan majoriti undi lebih tinggi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here