Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Forum Ilmuan Malaysia Madani ketika di Grand Hyatt Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) giat menganjurkan Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) pada setiap bulan.

Permintaan itu dibuat oleh perdana menteri supaya forum tersebut dijadikan pentas untuk melontarkan idea-idea bersifat keilmuan.

“Kalau masa mengizinkan, saya harap adakan forum ilmuan secara bulanan. Terima kasih kerana TNB yang anjurkan, bulan hadapan Petronas dan berikutnya (GLC), itulah cara kerajaan nak jimatkan duit,” katanya dalam Forum Ilmuan Malaysia Madani anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di ibu negara, malam ini.

Hadir sama adalah  Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Steven Sim.

Jelas Anwar lagi, FIM turut menyediakan ruang kepada sarjana pemikir negara dalam melontarkan idea mereka untuk digunakan oleh kerajaan.

Jelas Anwar, idea-idea mereka perlu merentas pemikiran konvensional dan mencabar supaya ia dapat digerakkan bagi merealisasikan konsep Malaysia Madani.

“Bagi saya setelah hampir dua tahun dalam kerajaan, saya bincang bersama Zambry untuk fikir hala tuju kita. Saya tidak pernah mewakili pandangan bahawa pimpinan negara mempunyai semua jawapan.

“Kita harus juga dicabar oleh sarjana, apakah dasar kita tepat atau kita masih dalam landasan atau pun kemungkinan kita cedok cengakaman baharu, idea baharu untuk memperbaiki,” katanya lagi.

Untuk rekod, FIM merupakan satu inisiatif yang diilhamkan Anwar sebagai satu bentuk wacana intelektual yang menjadi platform bagi para ilmuan dan tokoh daripada segenap latar belakang masyarakat untuk berbincang mengenai isu, cabaran dan tindakan dalam menangani masalah masyarakat semasa.

FIM juga diilhamkan untuk memberi input dan pandangan yang bermakna kepada kepimpinan negara dalam merangka dasar atau program pembangunan negara.

Program ini akan dianjurkan secara bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan GLC terpilih dengan topik forum yang diketengahkan adalah berkaitan Kerangka Ekonomi Madani. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here