Azmin ketika ditemuramah dalam program makan tengah hari Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama media di Taman Seri Impian, Kluang, hari ini.

KLUANG – Perikatan Nasional (PN) menafikan jentera Pas tidak membantu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengarah Bilik Gerakan Utama (BGU) PN bagi PRK DUN Mahkota, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tohmahan itu tidak benar yang diadakan pihak lawan.

Ketua Penerangan PN itu menjelaskan, jentera Pas sudah ada di DUN Mahkota sebelum hari penamaan calon, Sabtu lalu untuk membantu berkempen.

“Tak betul tohmahan pihak lawan bahawa Pas tidak kelihatan di lapangan untuk membantu calon.

“Timbalan dan Naib Presiden Pas telah berada di Mahkota untuk membantu kempen, begitu juga Ketua Dewan Ulama Pas dan Ketua Pemuda Pas sudah ada di Mahkota.

“Malah ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Tanjung Lumur dan ADUN Maharani pun sudah ada untuk membantu kempen, begitu juga jentera dariada muslimat Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program makan tengah hari Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama media di Taman Seri Impian, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin menjawab dakwaan jentera Pas tidak membantu kempen calon PN apabila dikatakan tidak kelihatan dalam kempen PRN DUN Mahkota.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bukan sahaja Pas tetapi juga Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Progresif Penduduk (MyPPP) membantu calon PN berkempen.

Tambah beliau, semua parti berkenaan bergerak dalam satu pasukan atas tiket PN.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

PN mempertaruhkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, manakala Barisan Nasional (BN) meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here