Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Perasmian Pesta Tanglung di Dewan Che Luan Khor di Kluang. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pillihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hanya akan dapat dicapai sekiranya seluruh penyokong parti itu keluar mengundi pada Sabtu ini.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru pengundi BN dan Kerajaan Perpaduan sama ada orang Melayu, India, Cina dan Orang Asli keluar beramai-ramai menjalankan tanggunjawab mereka.

“Kejayaan pilihan raya kecil ini ialah apabila pengundi Melayu, Cina dan India yang sokong BN keluar mengundi dan memangkah BN dan memasukkan kertas undi mereka ke dalam tong (peti) undi.

“Jika mereka keluar mengundi tetapi memasukkan kertas undi ke dalam poket untuk dijadikan `souvenier’ (cenderamata), itu tidak akan membantu BN, walaupun dia sebenarnya penyokong BN.

“Jadi penyokong BN perlu pastikan keluar beramai-ramai untuk mengundi pada Sabtu ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika ditanya berkenaan kemungkinan PRK DUN Mahkota yang akan berlangsung Sabtu ini tidak mendapat sambutan khususnya dalam kalangan pengundi luar dan masyakat Cina.

Kemungkinan pengundi Cina akan memboikot PRK DUN Mahkota itu khususnya disebabkan pergeseran yang berlaku antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berhubung isu sijil halal.

Kebimbangan itu semakin tinggi selepas terdapat cubaan menghasut pengundi Cina supaya tidak keluar mengundi yang disebarkan menerusi surat layang kononnya bagi menghukum UMNO berkaitan isu tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here