WONG Shu Qi mengacau serbuk kopi yang dimasak ketika melawat kilang kopi popular, The Kopi Factory, di Kluang, Johor, hari ini.

KLUANG – Isu pergeseran antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Naib Presiden DAP, Teresa Kok adalah isu peribadi antara kedua-dua pemimpin berkenaan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, isu itu tidak seharusnya dijadikan pertimbangan oleh pengundi dalam menentukan sokongan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Sabtu ini.

Jelas beliau, pengundi DUN Mahkota seharusnya membuat pilihan secara rasional iaitu dengan memikirkan PRK itu diadakan bertujuan memilih seorang pemimpin yang dapat membawa suara dan memberikan khidmat terbaik untuk mereka.

“PRK ini untuk kita pilih seorang calon yang boleh bekerjasama dengan YB Chew (ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin) dan saya sendiri (Ahli Parlimen Kluang) sebagai sebuah ‘tag team’ (pasukan) untuk menjaga kepentingn rakyat di Kluang.

“Kita bukan nak memilih ADUN di kawasan lain, tetapi kita sedang memilih ADUN Mahkota untuk orang Mahkota dan Kluang, jadi pastikan pilih yang terbaik,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau membawa sekumpulan media melawat operasi kilang kopi tempatan, The Kopi Factory, di sini.

Sehingga ke hari ini, iaitu ketika berbaki dua hari lagi kempen PRK DUN Mahkota, isu pergeseran antara Dr. Muhamad Akmal dan Teresa terus dimainkan oleh pembangkang untuk menghakis sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan.

Malah, terdapat pihak tertentu menggunakan isu itu untuk menakut-nakutkan pengundi Cina supaya tidak keluar mengundi bagi menghukum UMNO dengan menyebar surat layang kepada peduduk di beberapa buah taman perumahan.

Dalam perkembangan berkaitan, Shu Qi berkata, beliau mengharapkan pengorbanan pengundi luar BN untuk sekali lagi pulang ke Mahkota bagi menjalankan tanggungjawab memilih pada Sabtu ini.

Ujarnya, beliau memahami terdapat sebahagian besar pengundi Cina di Mahkota yang baru sahaja pulang ke kampung minggu lalu untuk merayakan Pesta Tanglung dan mungkin keberatan untuk pulang sekali lagi Sabtu ini.

Namun, ujar beliau, pengundi luar perlu memahami setiap undi mereka penting dalam memberikan sokongan kepada kestabilan politik bukan hanya di Johor, malah di seluruh negara.

“Undian mereka kepada BN sangat bermakna kerana ia akan memberikan sokongan dan keyakinan penuh kepada kerajaan negeri untuk terus berusaha memajukan Johor.

“Ia juga akan memberi keyakinan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani untuk terus menarik pelaburan asing ke Malaysia yang manfaatnya juga akan dinikmati penduduk Johor,” katanya.

Dalam masa sama, ujar beliau, pelabur asing juga sedang memantau situasi politik di negara ini sebelum membuat keputusan untuk melabur dan pengundi DUN Mahkota turut memainkan peranan ke arah kestabilan politik itu menerusi undian mereka, Sabtu ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here