Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu wakil rakyat dan media masyarakat berketurunan India. #malaysiagazette

KUALA LUMPUR – Keprihatinan Kerajaan Madani terhadap masyarakat India akan diteruskan melalui Belanjawan 2025 yang akan diumum pada 18 Oktober depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa program khusus kepada masyarakat India akan diumumkan dalam belanjawan itu seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Kebajikan masyarakat India tidak pernah dipinggirkan dan sentiasa ditambah baik dari segala aspek penting termasuk pendidikan, penyediaan rumah ibadat dan peluang pekerjaan.

“Saya sampaikan amanat tersebut sewaktu pertemuan dengan ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri dan media masyarakat India sambil mengingatkan hadirin kepentingan untuk mengekalkan keharmonian antara semua kaum harus kekal terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, sehingga kini sebanyak RM1.5 juta telah disalur untuk bakul makanan sempena perayaan Deepavali.

Manakala sebanyak RM20 juta disalurkan bagi pembinaan tempat pembakaran mayat atau krematorium di beberapa negeri melibatkan Kedah, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Tambah beliau, kerajaan sebelum ini telah menyalurkan peruntukan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) selain menambah beberapa dana seperti bantuan sejumlah kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk masyarakat India.

“Moga taraf sosio ekonomi masyarakat India di negara ini dapat terus dipertingkatkan di masa hadapan, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here