AHMAD Maslan (tengah) bersama-sama Wong Shu Qi (kiri) dan Chew Chong Sin (kanan) ketika meninjau projek pembesasran jalan di bandar Kluang, Johor, hari ini.

KLUANG – Kesesakan yang sering berlaku di pusat bandar, di sini, khususnya di persimpangan Jalan Ayer Hitam; Jalan Mengkibol; Jalan Station dan Jalan Mersing bakal berakhir apabila kerajaan meluluskan peruntukan bagi projek pembesaran jalan di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebanyak RM500,000 telah diluluskan Kerajaan Pusat sebelum ini bagi projek tersebut yang akan disiapkan dalam tempoh kira-kira dua bulan.

Ujar beliau, persimpangan jalan itu sering mengalami kesesakan teruk terutama pada waktu puncak serta ketika hujung minggu dan cuti umum sehingga mengundang rungutan khususnya dalam kalangan penduduk tempatan.

“Peruntukan bagi projek pembesaran jalan ini sebenarnya sudah lama diluluskan iaitu sebelum adanya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota lagi.

“Tapi pelaksanaannya kita tangguhkan selepas PRK ini kerana kita tidak mahu kerja-kerja pembesaran itu menyebabkan kesesakan di kawasan ini semakin buruk memandangkan ketika ini sedang berlangsungnya PRK,” katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi pembesaran jalan itu, di sini, hari ini.

Turut serta ialah Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dan ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin.

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata, pembesaran jalan tersebut merupakan antara beberapa projek yang diluluskan Kerajaan Pusat untuk manfaat penduduk di sekitar daerah Kluang termasuk di DUN Mahkota dan DUN Mengkibol.

Sebelum ini, ujar beliau, Kerajaan Pusat juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi membina longkang untuk mengatasi masalah banjir di Jalan Padang Tembak serta pembinaan jambatan baharu dua lorong di Kampung Sri Tengah dengan peruntukan sebanyak RM9 juta.

Jelasnya, kesemua peruntukan bagi projek itu telah diluluskan sebelum adanya PRK DUN Mahkota, sekali gus membuktikan perhatian Kerajaan Pusat dalam meningkatkan taraf hidup penduduk di daerah Kluang dibuat sepanjang masa, bukannya bermusim iaitu ketika adanya PRK.

Dalam masa sama, jelas beliau, bantuan daripada kerajaan itu juga menunjukkan betapa pentingnya untuk penduduk DUN Mahkota memastikan wakil rakyat mereka sealiran dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

“Disebabkan tiga wakil rakyat di bawah Parlimen Kluang sebelum ini adalah daripada Kerajaan Pusat, jadi mudah untuk mereka memohon bantuan dan mudah juga untuk diluluskan.

“Itulah kelebihannya jika penduduk DUN Mahkota sealiran dengan kerajaan Pusat dan situasi ini sebenarnya bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi di seluruh negara yang mana dalam sistem demokrasi, siapa yang menang ada kelebihan berbanding mereka yang menjadi pembangkang,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here