PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga kini tidak menerima laporan mengenai parodi yang dimuat naik dalam media sosial khususnya aplikasi TikTok berkenaan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, tindakan terhadap kandungan sedemikian hanya boleh diambil berdasarkan laporan dan arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Waktu ini MCMC tidak memaklumkan kepada saya tindakan yang diambil terhadap kandungan yang tidak secara langsung berkait GISBH. Waktu ini laporan (berkenaan) lagu-lagu tidak ada, kita tidak terima lagi aduan parodi,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Sabtu yang lalu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, SKMM giat memantau kandungan media sosial membabitkan GISBH termasuk video lagu yang ditularkan dan dijadikan parodi oleh segelintir masyarakat.
Sehubungan itu katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan mana-mana agensi yang bertanggungjawab menyiasat kumpulan berkenaan sekiranya terdapat permintaan.
Baru-baru ini lagu nyanyian ahli kumpulan terbabit tular di media sosial sehingga mendapat perhatian masyarakat di negara ini.
Ia diparodikan oleh pelbagai pengguna TikTok. – MalaysiaGazette