Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun didera dan dimasukkan ke HEBHK di Kluang, hari ini

KLUANG – Polis menahan sepasang suami isteri muda warga tempatan kerana dipercayai mendera anak lelakinya yang berusia tiga tahun sehingga dimasukkan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pasangan berusia 20an itu ditahan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini pada pukul 1.50 pagi tadi.

“Sebelum itu pihak polis menerima panggilan telefon daripada seorang doktor yang bertugas di wad kecemasan di hospital itu pada pukul 9.50 malam tadi.

“Melalui maklumat itu, pihak hospital menerima seorang pesakit iaitu kanak-kanak lelaki yang mempunyai kecederaan dibeberapa bahagian badan dipercayai didera.

“Semakan mendapati pasangan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing negatif daripada pengaruh sebarang jenis dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Ujarnya, pasangan suami isteri itu kemudiannya dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here