Pelakon, Fazura hadir bagi sebutan kes permohonan cerai yang difailkan untuk suaminya yang juga pelakon, Fattah Amin ketika di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. Foto MOHD ADZLAN, 25 SEPTEMBER 2024.

SHAH ALAM – Pelakon Nur Fazura tidak dapat memberi jawapan sama ada dia masih menyayangi suaminya, Fattah Amin ketika ini.

Wanita berusia 40 tahun itu lebih selesa memilih untuk mengunci mulut mengenai soalan yang diasak wartawan sambil tersenyum.

“Saya tidak boleh hendak komen. Saya minta maaf,” katanya ringkas.

Pagi ini, Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti itu ke tarikh baharu kepada 7 Oktober depan.

Mengulas lanjut, Fazura berharap kemelut rumah tangganya dengan Fattah, 33, menemui penyelesaian terbaik demi kebahagiaan kedua-dua belah pihak.

“Sebagai seorang isteri dan ibu, sudah tentu saya mengharapkan yang terbaik tapi saya serahkan kepada Allah kerana itu yang terbaik untuk saya,” katanya.

Fazura turut memaklumkan dia berada dalam keadaan tenang walaupun berdepan kemelut rumah tangga.

“Kalau tanya perasaan saya ketika ini, saya tenang saja, Alhamdulillah.

“Apa yang berlaku ini bukanlah satu yang dijangka. Ini semua ketentuan Allah. Saya terima seadanya,” katanya.

Pada 13 September lalu, Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin dikatakan hadir ke mahkamah sama bagi memfailkan cerai terhadap Fattah.

Pelakon, Fattah Amin selepas hadir bagi sebutan kes permohonan cerai yang difailkan oleh isterinya, Fazura ketika di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. Foto MOHD ADZLAN, 25 SEPTEMBER 2024.

Bagaimanapun, Fattah memaklumkan terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.

Fattah berkata, dia masih menyayangi Fazura dan menegaskan tiada wanita lain yang menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.

Sementara itu, Fazura pula memilih mengunci mulut mengenai perceraian yang difailkan itu.

Pengurusnya, Iman Tang dalam satu kenyataan berkata, proses perceraian tersebut dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard perundangan negara dan mereka tidak pernah berkongsi butiran lanjut atau tarikh prosiding kepada umum, katanya dalam kenyataan.

Ia berikutan terdapat laporan di media sosial mendakwa Fazura memohon untuk berpisah secara baik dan tarikh sebutan kes penceraian pasangan tersebut dikatakan pada 25 September ini.

Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here