KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu tujuh individu yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan palsu, Pantheon Ventures, berikutan serbuan yang dilakukan baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, beberapa tangkapan telah dibuat melibatkan suspek tempatan berusia antara 23 hingga 52 tahun, termasuk seorang wanita.
“Serbuan turut membawa kepada rampasan 13 telefon bimbit, satu komputer riba, enam kad ATM, dua set dokumen pendaftaran syarikat, satu cop syarikat, dan satu penyata akaun bank,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JSJK, di sini, semalam.
Menurut Ramli, sejak Januari 2024, pihaknya telah membuka 66 kertas siasatan berkaitan skim pelaburan palsu Pantheon Ventures, dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM32,972,448.15.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket ini beroperasi sepenuhnya secara dalam talian, menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka dunia, Pantheon Ventures, untuk mengaburi mangsa.
Bagaimanapun, jelasnya, syarikat yang berpangkalan di United Kingdom itu tidak mempunyai kaitan dengan skim pelaburan yang ditawarkan oleh sindiket tersebut.
Ramli berkata, sindiket itu menggunakan media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sebagai medium pengiklanan dan komunikasi dengan mangsa.
Melalui promosi yang disasarkan, sindiket berkenaan menawarkan keuntungan tinggi antara enam hingga 400 peratus sehari, bergantung kepada pakej yang ditawarkan, katanya.
“Iklan pelaburan dibuat dengan menggunakan algoritma Facebook untuk mencapai lebih ramai pengguna.
“Mangsa juga diyakinkan bahawa pelaburan mereka selamat, kononnya dipantau oleh ‘cikgu trader’ yang mendakwa pakar dalam analisis pasaran modal,” ujarnya.
Untuk melabur, mangsa diarahkan mendepositkan wang ke akaun syarikat, perniagaan, atau individu yang ditetapkan, serta diminta memuat turun aplikasi APEX dan NEEQ melalui App Store dan Google Play Store.
Namun, akhirnya mereka tidak menerima keuntungan seperti yang dijanjikan, kata Ramli.
Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala usaha untuk mengesan tujuh lagi individu yang terlibat sedang giat dijalankan. – MalaysiaGazette