Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

KUALA LUMPUR- Terdapat kewajaran supaya undang-undang yang memberi kekebalan kepada Ahli Parlimen di dalam dalam Dewan Rakyat dipinda dan ditambah baik.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau setuju dengan cadangan itu kerana ia dapat memastikan Ahli Parlimen lebih bertanggung jawab ketika berbahas.

Malah ia juga mampu mengelakkan Ahli-Ahli Parlimen mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan hasutan.

“Saya sangat setuju kerana saya ikut banyak persidangan dalam dunia ini, banyak isu politik tidak dimainkan sangat (di luar negara).

“Mungkin mereka berdepan isu subsentif, namun perjalanan debat (perbahasan) itu nampak matang.

“Tapi kita kadang-kadang gunakan isu subsentif itu sebagai platform kita berpolitik. Itu yang nampak tak cantik,” katanya selepas hadir pada majlis penutup Program Libat Urus Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Rakyat bersama media di Parlimen.

Justeru, beliau meminta Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menjadikan pentas Parlimen untuk membahaskan isu yang boleh memberikan kepentingan kepada rakyat.

“Itu sebab kita kena berubah dan sudah tentu, ia bukan keputusan popular (jika pindaan itu dibuat), tapi saya rasa kita perlu berubah.

“Fizikalnya kita rasa ok, tapi nampak karakter (sikap tertentu Ahli Parlimen) itu ada yang tak berapa cantik,” katanya.

Terdahulu, Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A Aziz dalam sesi forum pada majlis sama mencadangkan undang-undang yang memberi kekebalan kepada Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat dipinda dan ditambah baik.

Katanya, ia bagi membolehkan individu atau pihak termasuk Ahli Parlimen yang difitnah oleh mana-mana Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat boleh membawa kes ke mahkamah untuk mendapat pengadilan.

Dalam perkembangan lain, Johari mengumumkan Parlimen akan mengadakan hari tanpa gula pada setiap Rabu sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat bermula 14 Oktober ini.

Katanya, ini bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam masyarakat terutamanya terdapat kes kematian wakil-wakil rakyat disebabkan masalah kesihatan.

Menyentuh Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) bagi memberi kuasa autonomi kepada pentadbiran dan kewangan Parlimen, Johari mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa ia akan dibentang pada sidang akan datang.

“Saya rasa dalam sidang kali ini (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri) Azalina (Othman Said) akan bentangkan.

“Saya menyeru semua Ahli Parlimen menyokong Rang Undang-Undang (RUU) ini. Ia begitu penting untuk tunjukkan kepada dunia akan pengasingan kuasa dan Parlimen tidak diletak dibawah mana-mana jabatan,” katanya.

Dengan penggubalan akta itu katanya, Parlimen boleh mengurus tadbir kewangannya sendiri selain boleh memgambil kakitangannya sendiri. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here